Selasa, 22 Mei 2018

Tabassam!

Tersenyumlah!


Mendengar bait-bait lagu hasil sentuhan Mesut Kurtis penyanyi berkturunan Turki ini sangat meruntun jiwa!

Manakan tidak,  gubahan lagunya sangat enak didengari dan liriknya sangat mendamaikan hati nurani kita.

Tersenyunlah!

Walaupun hari-hari yang kita lalui sangat sukar dan memerlukan pengorbanan.

Tersenyunlah!

Walaupun hati sering dilukai oleh insan sekeliling.

Tersenyumlah dengan mengingati sirah dan perjalanan Nabi s.a.w. yang sangat getir dan payah.

Walau apa juga yang perlu kita hadapi, ingatlah bahawa Allah senantiasa memandu hidup kita dan susah atau senang kita. Maka, Allah akan memberikan tarbiyah, pedoman dan peringatan buat kita lebih dewasa menjalani hidup. Dan, paling penting Allah tidak akan pernah membebankan hambaNya dengan ujian yang melebihi kadar kemampuannya.

Tersenyumlah!

Semoga esok bertemu cahaya mentari yang akan menyinari hidupmu.

Tersenyunlah!

Semoga perjalanan hidupmu senantiasa dipandu oleh Sang Pencipta

Agar kita tidak terpesong, tergelincir...

Itu yang kita khuatirkan..




Selamat berbahagia kawan!


Mahabbah Usuluddin

Cinta yang lahir kerana Allah, pasti akan memberi bekas pada hati,
Cinta yang ditanam dengan baja iman, pasti menumbuhkan kasih sayang yang murni,
Itulah kuasa cinta. Syaratnya, perlu senantiasa bersama pergantungan dengan ilahi.
Dan luruskanlah cinta yang telah dipahatkan dalam hati.
Semoga Cinta menjadi bersih dan suci.
Kekal dan abadi..

Bercakap soal cinta, bukan semestinya berkaitan tentang cinta lelaki dan perempuan sahaja. Malah, banyak lagi aspirasi cinta yang sedang melingkari kehidupan sesama manusia.

Seperti kami, keluarga Usuluddin, Fakulti Pengajian Islam, USAS.

Asalnya, kami tidak mengenali satu dengan yang lain. Tetapi setelah bersama-sama mengemudi bahtera jabatan Usuluddin, kenal mengenali, saling memahami, bertoleransi dan bekerjasama, selayaknya kami katakan kami senang dengan keluarga ini. Ini juga sebahagian daripada cinta!

Dan keadaan cinta ini telah membina ukhwah Islamiyah sesama kami. Dan kami beriman dengan ayat Allah;

" Sesungguhnya hanyalah orang-orang yang beriman memiliki ukhwah" - surah Hujurat:10

Kehebatan cinta telah membina ukhwah iaitu ikatan persaudaraan kerana Allah swt. Malah, ukhwah ini menjadikan kami saling menghormati antara satu dengan yang lain.

Bagaimana kami membawa cinta ini kepada ukhwah sesama kami?

Kami telah disediakan dengan pengajian-pengajian, usrah, perkongsian sesama kami. Itu yang paling penting. Kekerapan mengadakan pertemuan yang bermanfaat menyebabkan kami semakin memahami. Ada ketika berkongsi tentang kejayaan ahli-ahli kami, memberi peringatan, memberi teguran, berkongsi idea, memberi penghargaan, mencipta program dan sebagainya.

Pernah juga kami bersama-sama meluangkan masa bercuti sambil merangka kemajuan jabatan. Berbengkel di Cameron Highland.

Di sana, kami berbengkel membina kemajuan diri dan kerjaya, dan paling tidak kami lupakan ialah perkongsian sesama kami. Sharing moment. Bertukar cerita, mengenali peribadi dengan lebih jauh. Mengetahui kekurangan dan kelebihan masing dan paling teruja ialah peringatan-peringatan yang diberikan oleh senior-senior kami.

Ada satu nukilan senior kami mengenai nilai ukhwah Islamiyah. Beliau memetik kata-kata pendokong pejuang Ikhwan Al-Muslimin
Al-Imam Muassis mengenai ukhwah Islamiyah;


وأريد بالأخوة: أن ترتبط القلوبُ والأرواحُ برباط العقيدة، والعقيدة أوثق الروابطِ وأغلاها، والأخوَّة أخت الإيمان، والتفرُّقُ أخو الكفر، وأول القوة قوة الوحدة، ولا وِحْدَةَ بغير حب، وأقل الحب سلامة الصدر، وأعلاه مرتبة الإيثار

" Yang dimaksudkan dengan ukhwah ialah: terikatnya hati-hati dan jiwa-jiwa ini dengan ikatan aqidah, dan aqidah merupakan ikata  yang paling kukuh dan paling mahak harganya, dan ukhwah adalah saudara keimanan, sementara perpecahan adalah teman dari kekufuran, kekuatan yang utama adalah persatuan dan tidak ada persatuan tanpa cinta, dan cinta paling rwndah ialah berlaoang dada, sementara cinta yang paling tinggi ialah itsar"

Hebatnya penangan cinta yang telah dibina atas dasar aqidah. Ia terus membentuk peribadi mukmin yang cinta akan saudaranya tanpa mengenepikan had syarak Islamiyah.

Semoga Allah senantiasa menjaga hubungan cinta ini dan memberikan kesejahteraan kepada seluruh ahli Usuluddin dan USAS khususnya.

Indahnya cinta!


Sebahagian daripada Keluarga Besar Usuluddin USAS

Rabu, 2 Mei 2018

TAJUK-TAJUK KAJIAN SAYA

Assalamualaikum. saya abadikan tajuk-tajuk kajian yang pernah saya lakukan sepanjang pengajian saya dalam dunia akademik. Hal ini mudahan menjadi semangat untuk saya selalu meng'edit' post ini dari semasa ke semasa dan terus berdaya maju dalam dunia penulisan dan kajian. Doakan saya kawan-kawan!


2012:
1. Pendekatan Akhlak dalam pendidikan Awal kanak-kanak: perbandingan antara masyarakat melayu dan cina (Kajian Ilmiah Diploma)

2016:
1. Upacara Rabu Abu (Ash Wednesday) dalam ajaran Kristian (Pembentangan Seminar Siswazah)
2. Konsep kalalah dalam isu pewarisan harta menurut Mohamad Arkoun (Assignment)

2017:
1. Konsep Tafsir dalam kajian Bible (Jurnal)

2018:
1. Kaedah Hermeneutik terhadap Konsep Triniti dalam Perjanjian Baru (Prosiding)

2. Salah Faham Islam Liberal (Fadzlur Rahman) Terhadap Pentafsiran Sunnah Poligami dalam Al-Quran













Jumaat, 20 April 2018

Karya 'Ayat-ayat Cinta 2'

Menganggap sama semua agama justeru sangat membahayakan umat manusia. Sebab pada dasarnya agama-agama itu memang berbeza. Biarkanlah apa adanya, secara natural memang berbeza. dan kedamaian serta keharmonian tetap boleh kita perjuangkan dan kita hadirkan dalam perbezaan-perbezaan itu. Justeru itu akan terasa sangat indah.
Kita tidak perlu memperkosa agama-agama itu untuk disama-samakan. Tidak perlu. Yang penting dan perlu untuk kita perjuangkan bersama adalah kedewasaan dalam beragama. Para pemeluk-pemeluk agama harus menghayati ajaran agamanya masing-masing dan bersungguh-sungguh, sereligius-religiusnya, sedekat-dekatnya mereka dengan Tuhan mereka. Sehingga jiwa mereka menjadi bersih. Lalu mereka hendaknya beragama secara dewasa dan memandang agama orang lain juga secara dewasa! Dari situ akan tercipta toleransi yang hakiki, toleransi yang menawan.
-Dr. Fahri
The University of Edinburgh
Ayat-Ayat Cinta 2

     Membaca novelnya 8 Mei 2016 yang lalu membuatkan saya terus menerus mencintai hasil tulisan Kang Abik atau nama sebanarnya Habiburahman El-Syirazy. Kang abik telah menyedarkan saya bahawa sebuah penulisan novel mampu membawa manusia tunduk menyembah Tuhannya iaitu dengan mengenalkan ayat-ayat ketuhanan dan menyuntik ruh rasa bertuhan di dalam setiap bait penulisannya. Kang abik mengajarkan kepada kita betapa manusia itu jika berjalan bersama Asma Allah, tidak akan pernah lelah memberi khidmat kepada manusia yang lainnya kerana mengingati pesan Tuhan di dalam Surah Ali-Imran:104;

" Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang ma'ruf dan mencegah daripada kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung"

         Memahami dengan benar bahawa setiap manusia sedang memikul tugas berkhidmat kepada manusia, Kang Abik terus menebar kebaikan melalui salah satu kelebihannya iaitu penulisan. Ayat-ayat cinta 2 satu lagi hasil penulisan yang telah menyedarkan manusia supaya setiap daripada kita perlu melakukan kebaikan dengan apa adanya kita. 

      Seorang manusia yang mempunyai kelebihan pada alirannya misalnya aliran agama, aliran kedoktoran, aliran akaun atau lain-lainnya seharusnya berusaha sedaya upaya memberikan khidmat dan bantuan kepada manusia lainnya melalui apa yang ia ketahui. Fahri yang berkelulusan agama sedaya upaya memberikan bantuan semaksimanya kepada masyarakat sekelilingnya. lebih-lebih lagi, itu merupakan pesanan isterinya agar senantiasa memberikan bantuan kepada manusia memerlukan. 

       Ya, saya pernah melihat video Kang Abik tentang ulasannya terhadap novel ini bahawa Kang Abik nyatakan tentang ya hampir tidak ada orang seperti Fahri tetapi ia tidak mustahil dan boleh terjadi. Seorang pemuda yang mempunyai kelebihan dalam banyak bidang dan memiliki kekayaan, malah menjadi orang yang sangat perihatin terhadap orang sekelilingnya mungkin boleh menjadi suntikan semangat buat pemuda Indonesia khususnya (sebab masa itu Kang Abik bercakap bersama pemuda-pemudi Indonesia) untuk terus mencapai kejayaan dan menebar kebaikan. 


       Paling terkesan pada saya ialah bagaimana seorang Fahri memelihara agamanya daripada terus menjadi hinaan dan cemuhan agama lain. kebijaksanaan dan hikmah seorang Fahri telah menjadikannya seorang yang sangat dihormati. betapa hebatnya seorang hamba Allah jika seluruh daripada hidupnya telah ia persembahkan untuk mempertahankan agama yang suci ini. Berbahagialah hamba Allah andai Allah sentiasa memberikan hidupnya bersusah payah membawa Islam. kerana Allah telah berfirman di dalam Surah Al-Mukminun bahawa Allah telah membeli daripada kalangan orang mukmin mereka yang berbunuh-bunuhan (bersusah-payah) untuk agama Allah. 

      Maha suci Allah yang telah menjadikan perjalanan hidup seseorang manusia sebagai pelajaran yang sangat besar untuk dirinya. Setiap apa yang berlaku sekiranya kita mengambil iktibar dan pelajaran, maka sudah semestinya kita tidak akan pernah merasa kecewa dengan setiap perkara yang Allah jadikan untuk kita. Susah, senang, suka, duka, segala perkara yang pernah singgah dalam hidup kita, jadikanlah ia satu pembelajaran hidup agar kita dapat meneruskan langkah dengan kebergantungan diri pada Allah swt. 

     Selamat maju jaya Kang Abik, semoga Allah senantiasa mengurniakan idea dan pemikiran yang baik buat Kang Abik supaya dapat menyajikan lagi kepada kami penulisan-penulisan yang sarat dengan pembangunan jiwa. Kang Abik ialah salah seorang qudwah saya dalam dunia dakwah. you are my idol!

     Bacalah novel ayat-ayat cinta 2 dengan penuh penghayatan dan hadirkanlah jiwa kita bersama dengan ceritanya. 






Jumaat, 13 April 2018

Assalamualaikum Cinta Sejati

Cinta ialah rahmat Allah yang paling besar buat seluruh manusia,
Ketika kita ingin merasakannya,
ia menjadi energi hidup yang luar biasa.

Cinta yang hidup bersama kesedaran cinta Tuhan,
pasti menambahkan lagi nikmat Cinta. 
Mencintai sesuatu demi Tuhan,
membuatkan kita terasa cukup bahagia.

Berbahagialah mereka yang memiliki cinta 
yang dibaluti dengan cinta Tuhan
kerna mereka tidak akan pernah merasa gundah....

selamat mencari cinta sejati,
yang bernafas bersama cinta ilahi....


semoga cintaku bersatu dalam rahmat Tuhan




Ahad, 15 Oktober 2017

HIKMAH DI GUA TEMPURUNG



7/10/2017 (SABTU)
   

Tarikh yang telah menyimpan terlalu banyak kenangan atas nikmat yang sangat banyak oleh Allah swt. Pada hari tersebut, saya berkesempatan untuk mengikuti team kesatuan pekerja di tempat saya bekerja yang menganjurkan ekspedisi ke gua tempurung, Gopeng Perak.


Ini sebahagian rakan-rakan kerja yang mengikuti ekspedisi kali ini
 


 Sebenarnya, sebelum ini saya pernah jelajah gua tempurung, tetapi ketika itu saya masih kecil (tingkatan 2). Tetapi bila sudah mengindak dewasa ni, jelajah ke sana memberi sedikit kelainan iaitu banyak perkara yang telah membuatkan saya semakin jatuh hati dengan pencipta alam ini.


     Kami menyertai ekspedisi ini dengan mengambil pakej keempat iaitu kami akan menjelajah semua tempat di dalam gua tersebut yang kira-kira sepanjang 1.9KM panjang perjalanan gua ini. Perjalanan kami (kalau tak silap saya) telah mengambil masa selama 4 jam dan (lebih sedikit) minit.




Nampak tak yang no.4 tu?? haa, kami ambik pakej tu la
(gambar dari ihsan google)


    Kami telah melalui beberapa stage di dalam gua tempurung itu sendiri. Saya tak ingat kecuali satu stage je ingat sebab memang cantik sangat tempat dia... Pada stage Eco-eco nama dia sebab dekat situ memang kalau kita jerit, suara kita dengar jauh dan ber'eco'. Ditambah pula, pagi tu memang hujan, so, air yang masuk ke dalam gua akibat terdapat beberapa ruang di atasnya, turun seperti air mata air yang ada di atas turun ke bawah...macam air terjun pun ada tapi kecik sangat airnya,... tapi turunnya air tu masyaAllah cantiknyaaaaa.... hehehe.. Tak terkata cantiknya ciptaan Allah... 




haa, inilah stage eco-eco yang saya sebut tu, belakang tu ada air jatuh dari atas gua ni, tapi dalam gambo idak lee nampaknyaa... heheh..


     Kami tak lah berkesempatan mengambil banyak gambar. Gambar-gambar yang ada pun ihsan dari kamera orang lain sebab kami tak mahu ambil risiko hilangnya HP kami. hehe.. so, ini jelah yang dapat di ambil.. Tapi, alhamdulillah, seronok sangat.. 


    Bagi saya, semua stage perjalanan yang di lalui adalah menarik dan telah membuatkan hati saya makin mencintai alam ini dan penciptanya. sebab apa?? Apa yang telah saya lakukan pada minda saya ialah saya bina mind set, APA YANG AKU AKAN DAPAT DARIPADA GUA INI DAN PENCIPTANYA? kerana, saya telah mengosongkan segala pemikiran dan hanya fokus kepada hikmah yang akan saya peroleh daripada ekspedisi ini.

   Dan sememangnya hati saya telah dipenuhi dengan segala keindahan yang telah dicipta di dalam gua ini. Bagaimana gua ini dapat bertahan berjuta-juta tahun lamanya ( info daripada ranger kami), dan sumber yang saya dapat daripada wikipedia, gua tempurung telah wujud sejak 8000 SM lagi. wow, lama tuuu.. Bagaimana Allah telah menahan penjuru-penjuru gua ini daripada terhapus dan musnah, dan Allah menjadikannya tempat perlindungan manusia daripada hujan, haiwan liar dan sebagainya.  Allah sangat baik menempatkan kita pada setiap tempat yang sesuai dengan kita. adapaun kadang-kadang kita rasa, sesuatu tempat yang kita duduki atau diami itu tidak sesuai dan menyusahkan, mungkin itulah ujian dan tanda Allah ingin mendidik kita dengan 1001 rahsia Allah swt.

       Ambillah ibrah dan hikmah dari Tuhan dari setiap perjalanan yang telah kita lalui di muka bumi ini. Tidak lain dan tidak bukan, Allah hendak menunjukkan kepada kita betapa kerdilnya kita dan agungnya kuasa Allah yang telah menciptakan setiap satu dari yang wujud. kembara kita di muka bumi ini sepatutnya menundukkan hati kita dengan mengakui kebesarannya, bukan mendabik dada mengakui kebesaran sendiri. seperti mana yang telah Allah firman kan di dalam Surah Al-Mulk ayat 15:


هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦۖ وَإِلَيۡهِ ٱلنُّشُورُ ١٥
15. Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).




        semakin kita berjalan jauh, menikmati alam Allah, semakin kita yakin dan percaya bahawa alam ini semestinya ada pencipta, dan yang mencipta setiap sesuatu ialah DIA, ALLAH AZZA WAJALLA..


    Semoga kita selalu menikmati nikmat bertuhan pada setiap langkah kita! :) bye. salam hormat.



Team wanita yang menyertai. 










Sabtu, 9 September 2017

SAKINAH MAWADDAH WA RAHMAH

Bismillahirahmanirahim...


Apabila sebut soal perkahwinan atau alam berumah tangga, saya sering mendengar cerita-cerita rakan tentang alam perkahwinan. Perkahwinan ialah alam yang penuh dengan tanggungjawab, kasih sayang dan memberi hak sesama pasangan. Kata kawan-kawan yang sudah mendirikan rumah tangga, perkahwinan bukanlah satu ikatan yang biasa-biasa. Ia adalah ikatan yang sepatutnya disimpulkan dengan kasih sayang dan cinta dan ikatan ini perlu dijaga supaya tidak terputus dan terus utuh. Maksudnya, walaupun ia satu ikatan yang dibina atas dasar cinta antara individu dalam satu pasangan, tetapi jika tidak dijaga maka akan berlaku banyak kepincangan dalam ikatan tersebut. 

       Kita lihat sekarang, berapa banyak perahwinan yang telah didirikan dalam masa seminggu? atau sebulan di negara kita Malaysia? atau setahun? dua tahun, dan seterusnya? kita melihat banyak walimah atau majlis perkahwinan telah didirikan dan semuanya adalah bertujuan menyatukan cinta dua hati, lelaki dan perempuan. Tetapi, sayang seribu kali sayang, kita juga dihujani dengan terlalu banyak isu penceraian di Malaysia sehingga baru-baru ini (ogos 2017) di sebuah akbar melabel Malaysia ialah negara duda dan janda. MasyaAllah. 

        Dalam perkahwinan memang ada masam manisnya, akan bertemu 2 karektor yang berbeza dalam satu rumah. Lebih-lebih lagi, 2 karektor itu tidak pernah bersatu dan terbiasa dengan karenah masing-masing. Bagaikan 2 orang asing diletakkan dalam satu rumah. kadang-kadang kalau tak kena gaya, memang senyap sunyi rumah tanpa sembang, gurau senda serta usikan nakal pasangan. Malah, lebih parah, apabila individu tersebut tidak boleh menerima kekurangan pasangannya, maka berantakanlah rumah tangga mereka. Kadang-kadang yang kita dengar, hanyalah bermula dari isu-isu remeh. isu isteri tak boleh menerima bau badan suami la, suami rimas dengan rambut isteri yang mengembang macam singa la, dan macam-macam lagi. Iya, kita memang mungkin tak boleh lari dengan isu-isu begini dan ya, yang menghadapinya lebih mengetahui apa yang berlaku hakikatnya. 

       Apa yang bermain dalam benak fikiran saya, mungkin kita tidak tahu asal tujuan perkahwinan. apa sebenarnya yang Islam suruh apabila kita melangkah ke dunia perkahwinan. saya terbaca satu penulisan daripada ustaz Yazid Bin abdul Qadir Jawas tentang tujuan bernikah atau mendirikan rumah tangga. kata beliau antara tujuan bernikah itu sendiri ialah memenuhi tuntutan naluri manusia yang asasi iaitu ia akan mengelakkan diri kita daripada melakukan maksiat dan keburukan yang Allah swt larang seperti zina, lesbian, homoseksual, dan lain-lain lagi. Dengan memenuhi tuntutan yang betul jalannya, sudah pasti akan melahirkan pasangan yang berkasih sayang kerana Allah. seterusnya kata Al-Fadhil, nikah ini bertujuan membentengi akhlak manusia dan ia adalah cara untuk menundukkan pandangan. Kerana itu menikahi pasangan antara jalan terbaik untuk menjaga hati dan peribadi kita. Sabda Nabi s.a.w.:

"Wahai pemuda! barang siapa di antara kalian berkemampuan untuk bernikah maka bernikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan pandangan, dan lebih membentengi farji (kemaluan). dan barangsiapa tidak mampu, maka hendaklah ia shaum (berpuasa), kerana shaum itu dapat membentenginya"

- Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh ahmad (1/424,425,432), Al-Bukhari (no. 1905, 5065,5066)

      Hadith di atas telah memberikan penjelasan tentang fitrah Allah jadikan manusia ini berpasangan. Berkahwin ialah cara membenarkan fitrah kita sebagai manusia. Namun,  pasangan yang tidak faham akan 2 tujuan ini, boleh jadi mereka isti'jal atau tergopoh-gapah jika datangnya cabaran dan ujian dalam hidup berumah tangga. Berkahwin hanya kerana suka sama suka, berkahwin untuk mengelak daripada melakukan zina setelah lama ber'couple', berkahwin hanya kerana ikut adat masyarakat (orang nak kahwin, dia pun nak kahwin), semua ini permulaan bahana yang tidak dapat difikirkan oleh rata-rata anak muda apabila mereka mengambil keputusan untuk berkahwin. kerana itu kita lihat, ada kalangan pasangan yang bergaduh kerana tidak sama cita rasa, bergaduh kerana hal-hal remeh, bergaduh kerana pasangannya tidak mahu ikut kehendaknya. Justeru, untuk mengekalkan institusi rumah tangga yang dibina, kita perlulah melakukan amalan-amalan baik dan berusaha mendalami ilmu rumah tangga. Antara yang perlu kita berikan penelitian ialah:

Amalan Soleh

Perkahwinan seharusnya disuburkan amalan-amalan soleh bagi memperoleh ketenangan yang Allah sebut dalam Al-Quran (surah Ar-Rum:21). Tentu sekali kita berkahwin hanyalah kerana Allah dan berharap Allah memberikan Sakinah, mawaddah wa Rahmah dalam rumah tangga kita. Kerana itu, pasangan yang berkahwin tidak boleh hanya menfokuskan kepada hubungan sesama pasangan sahaja kerana perkahwinan yang dibina bukanlah hanya kerana itu tetapi lebih daripada itu! Perkahwinan harus meletakkan Allah sebagai tujuan utama bagi hubungan mereka. Barulah mendapat ketenangan dan kebahgiaan yang dicari. Saya suka membaca pesanan daripada Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin iaitu seorang penceramah yang sering berkongsi mengenai alam rumah tangga. kata beliau di dalam satu rancangan di radio IKIM.fm, amalan soleh soleh ini akan dilakukan oleh suami isteri yang beriman dan amalan-amalan tersebut dilakukan sehinggalah rumah tangga tersebut beroleh ketenangan. Justeru, saya percaya bahawa Amalan Soleh adalah kunci utama dalam membina rumah tangga bahagia.


Bijak selesaikan sengketa

Lumrah dalam rumah tangga ialah mereka akan menghadapi pelbagai cabaran dan ujian. kerana itulah rumah tangga ini biasa digandingkan dengan perkataan 'Bahtera' yang bermaksud kapal yang besar yang memerlukan kepada orang yang mengemudinya dan kejayaan sesuatu rumah tangga itu ialah apabila pengemudi kapal mengemudinya dengan bijak dan matang. Suami isteri harus bijak menghadapi pelbagai situasi dan banyakkan komunikasi ialah salah satu cara bijak dalam menangani masalah rumah tangga.

Turunkanlah ego dan banyakkan mendengar dan merespon masalah daripada pasangan masing-masing. menurut Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin, kehidupan berumah tangga banyak dugaan seperti tidak sefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan tanggung jawab masing-masing. Justeru, Islam menyarankan permasalahan rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jika ada persengketaan, suami isteri perlu bermuhasabah untuk mencari punca berlaku krisis.


Kuasa Doa

Saya sangat yakin dengan kuasa doa. walaupun kadang-kadang kita rasa perkara itu mustahil untuk kita capai, tetapi bagi Allah ia tidak mustahil dan harus bagi Allah menentukannya sama ada kita mendapat nikmat bahagia atau nikmat ujian. Saya sangat terkesan dengan ayat Allah dalam surah Ali-Imran ayat 40-41 tentang cerita Nabi Zakaria yang bertanya kepada Allah tentang kehendaknya. Maka, tidak mustahil bagi Allah mengurniakan sesuatu walaupun pada pandangan kasar manusia, Nabi Zakaria sudah tua dan isterinya tidak boleh melahirkan anak kerana mandul tetapi allah tetap memberikannya setelah Allah berkehendak akan perkara tersebut. Maha suci Allah, dan Allah lah yang maha berkuasa atas segala sesuatu.

   Jika, setiap pasangan senantiasa berdoa dan menyerahkan pergantungan mereka kepada Allah, maka akan terhasillah pasangan yang tenang dalam hidup dan bahagia dunia akhirat. kerana itu Allah ajarkan kita satu doa dalam surah Al-Furqan ayat 74 iaitu:

Allah berfirman: "Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan-pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang bertakwa"

Akhir Kata:

    Selamatlah kepada semua pasangan dan bakal berpasang. selamat melayari bahtera rumah tangga dengan kasih sayang dan harapnya kita semua mendapat sakinah mawaddah wa rahmah. kita juga harus positif, jika rumah tangga yang kita bina itu tidak kesampaian hingga ke akhir hayat kita kerana tidak mampu untuk menyelamatkannya, maka ambillah pengajaran dan langkah positif untuk memperbaiki kehidupan kita. semoga Allah lah yang menjadi sebaik-baik pelindung kita.

    Jika kita memahami tujuan perkahwinan, peranan suami dan isteri, memperbaiki akhlak diri dan mengejar redha Allah, maka itulah sebaik-baik hubungan kekeluargaan. Banyak perkara yang perlu kita pelajari dalam melalui alam rumah tangga, jadi jangan sombong untuk belajar dan terus belajar. jangan pernah lelah untuk belajar. kerana Ilmu ialah cahaya memadamkan kegelapan dalam rumah tangga.

Saya doakan agar kita semua mendapatkan keredhaan Allah dalam hubungan yang dibina.

Salam Kasih sayang. Mari hayati lagi Lafaz Sakinah Dari Far East.