Jumaat, 15 Julai 2016

Karya 'Bulan Terbelah di Langit Amerika'

"'Ibrahim Hussien' mengajarkan kita bahawa
kita adalah saudara yang akan saling menolong
saat hari akhir nanti
ketika bulan terbelah selamanya"

"Demi matahari dan cahaya siangnya
demi bulan apabila mengiringnya
sungguh beruntung orang yang mensucikan jiwa
tebarkan salam, sinarkan kedamaian
kerana islam adalah salam
Islam adalah kedamaian
Dunia tanpa Islam adalah dunia tanpa KEDAMAIAN"

-Hanum
Bulan Terbelah di Langit Amerika

Belum sempat memiliki novelnya, tetapi saya sempat menonton filem atas karya penulisan Hanum Salsabiela Rais dan Rangga Almahendra ini. Bagi saya, filem ini mampu membawa mesej kedamaian dan sejahtera agama Islam kepada seluruh dunia yang selama ini menyangka bahawa Islam adalah sebuah agama mata pedang dan penuh dengan peperangan. Karya yang dipersembahkan ini mampu membuka minda saya bahawa masih ramai penganut Muslim yang sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memperkenalkan keindahan dan kemakmuran Islam dan semestinya kita sebagai Muslim perlu menjadi agen kedamaian kepada seluruh insan di sekeliling kita. 


LATAR BELAKANG PENGARANG

Terlebih dahulu dalam meneliti latar belakang pengarang novel ini, Hanum Salsabiela rupa-rupanya merupakan puteri kedua daripada tokoh politik negara Indonesia iaitu Amien Rais. Beliau dilahirkan dan dan dibesarkan seterusnya mendapat pendidikan di Yogyakarta sehingga meraih gelaran doktor gigi di Universiti Gadja Mada. Namun, beliau menukar bidang ketokohannya kepada menjadi Jurnalis dan wartawan di Tv. beliau juga telah berumur 34 tahun yang lahir pada 12 April 1982. Manakala, pengarang bersama ialah suaminya Rangga Almahendra seorang Director utama AdiTV, Ikatan Alumni Mahasiswa ITB yang berasal dari Yogyakarta. Beliau telah mendapat pendidikan di yogyakarta seterusnya mendapat kuliah di Institut Teknologi Bogor dan sarjana di Universiti Gadja Mada. seterusnya beliau mendapat pangkat sarjana kedoktoran di WU Vienna, Austria.  

LATAR BELAKANG KARYA

Novel Bulan Terbelah di Langit Amerika yang merupakan novel ke4 setelah novel yang ke3 (Berjalan di Atas Cahaya) beliau telah menempa namanya menjadi penulis yang terkenal sehingga mendapat penghargaan. Novel ini sebenarnya novel terbaru yang dikarang Hanum pada tahun 2014. Ia bermula ketika Hanum dan suami diwawancara oleh pengacara radio yang menyebabkan beliau tersedar bahawa beliau mempunyai draf penulisan tentang perjalanannya ke Amerika pada tahun 2009 yang lalu. Draf buku tersebut tersebut lebih awal daripada 99 Cahaya di Langit Eropa, berdasarkan perjalanan ketika berkunjung ke New York dan Wasington DC selama 12 hari dan menyempatkan datang ke semua ikon dua kota besar tersebut. Beberapa cerita yang dituangkan dalam novel ini berasal dari inspirasi yang dilihat Hanum dan suaminya di jaringan media, online news, atau youtube. Banyak di antaranya juga berasal dari kisah nyata yang diceritakan oleh para mualaf dan sumber terpercaya selama Hanum menjadi wartawan dan scholar di Eropa. Semua fakta sejarah, ilmiah, bangunan bersejarah, atau peristiwa yang disampaikan juga adaptasi dari kejadian sebenarnya.


ULASAN

Meneliti filemnya dan berusaha untuk membaca novelnya, saya sangat tertarik dengan mesej yang ingin disampaikan pengarang bahawa Islam senantiasa membawa mesej 'Rahmatan lil 'alamin" atau 'rahmat untuk semua". Islam lah yang mengajar Muslim untuk berbuat baik kepada sesamanya dan Islam adalah agama yang penuh dengan kebaikan dan perdamaian. Cumanya mungkin dek tangan-tangan yang mempunyai agenda-agenda tertentu, terpalit nama Islam dalam keburukan walhal Islam itu suci dan tidak membawa ajaran keburukan. baik, mari kita diskus tentang nilai yang kita dapat daripada cerita ini;

     Pertama, nilai yang saya lihat dalam perjalanan cerita ini ialah keutuhan akan kepercayaan agama walau di mana sahaja kita berada. Walaupun hidup di negara orang yang sememangnya ramai yang fobia dengan agama Islam, tetapi Hanum dan Rangga menganggapnya sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi dalam hidup. menghayati Firman Allah dalam surah Ali-Imran:18 dan 85;

"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam....."- (3:19)

"Dan barangsiapa mencari agama selain agama islam, dia tidak akan diterima dan akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi"- (3:85)

      Mengambil peringatan akan ayat ini, Muslim yang sohih haruslah benar-benar yakin terhadap agama yang kita anuti dan menyebarkan kebenaran melalui kebaikan-kebaikannya. Namun, ujian Allah kadangkala tidak kita jangka dan kadangkala yang hilang di jiwa kita ialah kebanggaan menjadi seorang Muslim akibat kecelakaan yang menimpa atau sebenarnya kita sebut sebagai 'ujian musibah'.  Seperti kata Azima atau Julia Collins dalam watak ini, bahawa beliau sangat mencintai Islam, tetapi sudah hilang kebanggaan ketika beliau menyangka bahawa suaminya merupakan salah seorang daripada teroris yang menyebabkan bangunan WTC di sana runtuh. Maka seharusnya kebanggaan berislam perlu hadir di setiap hati seorang Muslim. kebanggaan inilah yang harus dicari tanpa mengenepikan hal beragama setiap individu. 

     Kedua, nilai kerukunan yang perlu wujud dalam seluruh kelompok manusia. Tidak mengira bangsa dan agama, sebuah komuniti perlu membina kerukunan mereka dalam mengecapi kesejahteraan. fahaman Stephan yang mengatakan bahawa agama yang telah mengotak-kotakkan manusia supaya berbeza itu adalah salah malah kata Rangga ialah wang yang membuatkan perbezaan itu berlaku. Jika diamati, agamalah yang mampu membina kedamaian seluruh manusia dan terutamanya Islam adalah agama yang sangat memahami agama lain dan mampu membina perdamaian tersebut. Apabila kita memahami dan MENGHORMATI agama lain, maka mungkin tidak akan ada adegan cemuhan kepada Hanum dan Azima dalam kisah mereka. Persepsi bahawa Islam la yang membawa kekerasan perlu dibuktikan dengan nyata secara menyeluruh. Jika penganutnya yang melakukan perkara tersebut, maka bukanlah Islam keseluruhannya yang salah kerana Islam tidak pernah membenarkan kekerasan berlaku kerana ia agama fitrah yang dekat dengan manusia. 

     kesimpulannya, ia merupakan sebuah filem dan cerita yang sangat baik untuk ditonton dan kita perlu mengambil sebanyaknya nilai yang cuba ditonjolkan dalam filem ini. Tema agama sangat mencuri hati saya untuk lebih mengetahui lebih lanjut latar belakang kisah ini. 


PENUTUP

    Bagi saya, usaha memperkenalkan agama Islam sebagai agama yang membawa mesej Rahmatan lil 'alamin ialah usaha yang perlu digalas oleh seluruh Muslim dengan membina karektor Muslim yang berakhlak dan berwibawa supaya tidak berlaku salah faham antara agama. ketakutan memgetahui dan memahami agama lain kerana takut terpesong akidah perlu diperbetulkan. selagi kita seorang penganut agama yang berusaha membina tembok keyakinan terhadap agama kita, maka tidak ada maslaah untuk mengetahui agama lain dan MENGHORMATI mereka. Malah, jika agama kita adalah agama yang benar, mengapa perlu takut? ye tak?....

Tepuk dada tanya Iman.. Moga Allah thabatkan kita dalam agamaNya dan ketaatan kepadaNya. 

Memahami dan Menghormati juga merupakan dakwah kita sebagai Muslim ;)

Rujukan:

1) Representasi Religi Pada Novel Bulan Terbelah Di Langit Amerika Karya Hanum Salsabiela dan Rangga AlMahendra Dan Relevensinya dengan Pembelajaran Sastra Indonesia di SMA: Ahmad Maulana

2)https://id.wikipedia.org/wiki/Hanum_Salsabiela_Rais 

3) http://www.hanumrais.com/

Tiada ulasan: