Rabu, 31 Ogos 2016

HATINYA MILIK TUHAN



Hatinya milik Tuhan,
Mengimani kebesaran dan kekuasaan,
Penuh dan seluruh,
Melerai harta dan jiwanya,
Demi meraih cinta Tuhan.

Hatinya milik Tuhan,
Hanya Allah tempat ia mengadu
Segala rasa hati yang disimpan,
Lalu, Allah hadiahkannya
Kekasih agung buat peneman,
Muhammad insan budiman,
Menderap langkah melalui rintangan.
Dialah khadijah,
Insan pertama yang beriman,
Setelah wahyu diturunkan,

Hatinya milik Tuhan
Besar jiwanya Khadijah,
Ketika hatinya hidup penuh rasa bertuhan,
Tiada yang dapat menghalanginya,
Membaralah jiwa dan kudratnya,
Menegakkan risalah kenabian,
Menjadi kekuatan Muhammad disepanjang jalan seruan,
Dia mengimaniku ketika ramai manusia mengingkariku
Dia percaya kejujuranku ketika ramai mengatakan aku berdusta
Benarlah hatimu milik Tuhan… wahai Khadijah.

Hatinya milik Tuhan,
Sehingga menjadi kekuatan
Buat Nabi akhir zaman,
Sehingga irinya Aisyah dek padanya penuh kebaikan,
Sehingga Allah janjikan rumah disyurga yang tiada pergaduhan
Mahupun kesusahan,
Benarlah hatinya milik Tuhan,
Membawa hidupnya penuh kebahgiaan.

Inspirasi buat kami wanita akhir zaman,
Menyerahkan seluruh jiwa buat Tuhan,
Meletakkan seluruh keindahan dunia di tangan,
Menggenggam semangat menuju Tuhan,
Walau melalui seribu satu cabaran,
Walau kami tidak setabah Khadijah,
Walau kami penuh kelemahan dan kelalaian,
Tetapi inspirasi dari Khadijah,
Meletakkan impian solehah demi Tuhan,
Kerana kami ingin menjadi seperti Khadijah,
Dicintai Muhammad dicintai Tuhan,
Inilah nikmat paling agung,
Apabila merasai hati dan jiwa kita
Seluruhnya milik Tuhan.


Inspirasi dari Khadijah
Ain Mustaffa
6 Mac 2016-12.17 p.m.
Universiti Kebangsaan Malaysia.


Tiada ulasan: