Sabtu, 5 Ogos 2017

MENJAGA ERTI MERDEKA

Merdeka....Merdeka....Merdeka....

Laungan keramat ini sering kita dengar dan laungkan ketika menjelang bulan Ogos pada setiap tahun. Ia mempunyai nilai sejarah yang telah menyaksikan pelbagai rintangan dan kesukaran sebelum negara kita mencapai kemerdekaan. Para pejuang negara, bermati-matian mempertahankan tanah air kita bagi mendapatkan kemerdekaan. Betapa hebatnya kewiraan mereka, kerana sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara. Bertuahya kita rakyat Malaysia kini!

   Tidak lain dan tidak bukan, mereka iaitu para pejuang negara dengan tulusnya telah memahami maksud merdeka. Apakah yang dimaksudkan dengan merdeka? merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan dan lain-lain dan tidak bergantung pada yang lain dan berdiri dengan sendiri. Kerana mereka telah memahami nilai kebebasan inilah mereka bersungguh-sungguh menjaga negara dengan sebaiknya. Apabila kita memahami bahawa kebebasan itu bukanlah bersifat kebebasan kepada keburukan, maka segala bentuk keburukan, kemaksiatan, kerugian hidup tidak diperlukan bagi memenuhi maksud merdeka. 

   Jika kita baca kisah-kisah para pejuang, betapa mereka cintakan negara dengan memahami maksud merdeka pada negara. ketulusan mereka telah mengajar kita hakikat mencintai negara. kecintaan kepada negara tidaklah sehingga menggadaikan agama kerana itu keutamaan sebagai hamba Allah. 

   Antara nama yang boleh kita sebut ialah seorang tokoh negara iaitu Tok Kenali. Muhammad Yusuf Bin Ahmad antara tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan Islam dan menuntut kemerdekaan. walaupun tidak turut bersama mengangkat senjata, tetapi beliau telah menggunakan cara yang lebih halus dalam memperjuangkan kemerdekaan rakyat ketika itu iaitu dengan memperkasakan ilmu pengetahuan dan bersama-sama dengan menteri-menteri negeri dalam menyumbang idea-idea pemerintahan negeri

    Begitu juga dengan seorang lagi tokoh negara iaitu Mat hassan Panglima Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut. Beliau telah syahid ketika memperjuangkan agama dan negaranya. Tok Janggut telah mengajar kita betapa perlunya keberanian yang benar dalam memperjuangkan agama dan negara. walaupun beliau dihina di dunia kerana mendaulatkan agama dan negaranya, tetapi mudah-mudahan Allah telah mengangkat darjatnya di syurga kelak. 

   Betapa kita sedar, kita perlu menjaga erti merdeka ini. merdeka yang diperlukan ialah kita perlu merasa bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan agama dan negara. bertanggungjawab akan membawa kepada mendirinya kita berfikir, bertindak, bercakap mengikut keperluan agama dan kebaikan negara. Betapa kita mencintai negara ini, kita perlu bertanggungjawab, berdikari melaksanakan segala kebaikan dan kemakmuran supaya negara kita akan melonjak kepada kemajuan dan kebaikan yang lebih tinggi. 

   Bukanlah kita menjaga erti merdeka dengan tidak memahami konsep bebas yang sedia ada. Apabila kita tidak memahami merdeka atau yang disebut bebas di atas tadi, maka kita lah yang akan menjadi perosak kepada kedaulatan agama dan negara. kerana tidak memahami maksud merdeka, kita bebas melakukan kerosakan, melakukan kepincangan akal dengan mengucar kacirkan hukum agama, melakukan kemaksiatan, dan melakukan kerugian dalam hidup. 

   Jadilah kita seperti pejuang-pejuang negara. Memakmurkan negara dengan menjaganya, memberi kebanggaan kepadanya, berusaha meninggikan namanya di persada dunia, menjaga kehormatan agama daripada fitnah dan keburukan. Dan yang paling penting, kecintaan kepada negara kita hiasi juga dengan pemikiran yang merdeka. Pemikiran yang telah dicorakkan dengan Al-Quran dan Sunnah yang telah terbukti benar dan lurus. Kerana, masyarakat kini telah terdedah dengan rasional akal dalam menyelesaikan beberapa perkara atau masalah hidup. Kerana itu, kita perlu menjadi rakyat yang merdeka akal supaya akal akan memandu nurani melaksanakan penghormatan terhadap negara. 

   Besar jiwa kita dalam mencintai negara. Tetapi kita perlulah MENJAGA ERTI MERDEKA supaya kita mengetahui langkah yang terbaik bagi mencintainya.

Selamat maju jaya rakyat Malaysia! Berusahalah memahaminya, mudahan kita semua berjaya. saya sudahi dengan kita sama-sama menghayati sajak daripada seorang pejuang Syed Qutb yang memperjuangkan kebenaran dan kemerdekaan yang sebenar;  

 Akhi,

Saudaraku, engkau merdeka di sebalik tembok itu
Saudaraku, engkau merdeka dengan belenggu itu,
Bila engkau jadikan Allah sebagai sandaran
Maka apakah gerangan yang akan memperdayakanmu.

Wahai saudaraku, pasukan kegelapan akan binasa
dan fajar baru akan menyinsing di alam semesta
Lepaskan kerinduan jiwamu,
Engkau akan melihat fajar dari jauh telah bersinar

Saudaraku, engkau jangan jemu berjuang
Engkau lemparkan senjata dari bahumu,
Siapakah yang akan mengubati luka-luka para mangsa
dan meninggikan kembali panji-panji jihad?


Tiada ulasan: